Sunday, February 1, 2015

Dekapan Ukhuwah Rasulullah

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebagaimana Rasulullah berusaha membina masjid sebagai pusat pertemuan dan interaksi umat Islam, Rasulullah juga telah melaksanakan satu kerja teragung dan tersanjung yang tercatat sebagai lembaran suci di dalam sejarah Islam, iaitu tindakan mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Ibn al-Qayyim telah merakamkan peristiwa ini dengan catatannya: ‘Setelah itu Rasulullah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan al-Ansar. Majlis ini diadakan di rumah Anas bin Malik, yang hadir sembilan puluh orang kaum lelaki, separuh daripadanya al-Muhajirin dan separuhnya pula kaum Ansar. Rasulullah mempersaudarakan sesama mereka untuk bantu-membantu dan mewarisi harta pusaka selepas mati yang bukan dari golongan Zawi al-Haram iaitu tiada kaitan kekeluargaan. Amalan ini berterusan sehingga berlaku peperangan Badar, dengan turunnya ayat Allah yang bermaksud:
"Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu adalah lebih berhak terhadap sesamanya"
(al-Anfal: 75)
Dengan itu, hak pewarisan harta pusaka dikembalikan kepada yang berhak mengikut syara' dan bukan lagi berdasarkan kepada persaudaran tadi. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa selepas itu Rasulullah mempersaudarakan antara Muhajirin sesama mereka, tetapi yang pasti ialah yang pertama, kerana sebenarnya kaum Muhajirin antara mereka sudah cukup dengan persaudaraan Islam di samping faktor perantauan dan kekeluargaan keturunan, berlainan pula halnya dengan persaudaraan al-Ansar.

Tujuan dari persaudaraan ini, sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad al-Ghazali ialah untuk mencairkan asabiah jahiliah hingga yang berbaki hanyalah ruh Islam sahaja dan supaya timbunan perbezaan keturunan, warna kulit dan kedaerahan semua dihancurkan dan yang tinggal hanya Islam, tiada suatu pun yang boleh membanggakan seseorang atau merendahkannya kecuali dengan ketaqwaan sahaja.

Rasulullah (s.a.w) menjadikan persaudaraan itu sebagai suatu permeteraian yang berfungsi bukan hanya sekadar lafaz yang kosong tidak membawa erti. Perasaan mengutamakan saudara, sifat tolong menolong dan sikap berdampingan diceritakan di dalam anjuran ukhuwwah ini, ianya membekalkan masyarakat dengan seribu satu contoh unggul lagi unik.

Imam al-Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan: Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah SAW terus mempersaudarakan antara Abdul Rahman bin Auf dengan Sa'd bin al-Rabi' sehingga beliau berkata kepada Abdul Rahman: “Sebenarnya aku ini orang Ansar yang banyak hartanya, aku ingin menawarkan salah seorang dari isteriku, kau pilihlah mana yang berkenan di hati kau, dan aku hendak ceraikan. Selepas selesai iddahnya kau kahwinlah dengannya.” Kata Abdul Rahman: "Semoga Allah memberkati kau pada keluarga dan harta kau, cuma aku hendak tahu di mana pasar kamu di sini?" Kaum Ansar pun menunjuk pasar Banu Qainuqa' dan kemudian beliau pun terus ke sana membawa barang-barang keperluannya yang lebih untuk dijual di pasar seperti minyak sapi dan mentega, seterusnya hingga ke esok hari. Di suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah, kelihatan kesan ceria dan Rasulullah pun bersuara: Ehem! Terus Abdul Rahman menjawab: "Sebenarnya daku sudah sudah pun berkahwin". Tanya Rasulullah: "Berapa maharnya?" Jawab Abdul Rahman: "Sebungkal emas".

Riwayat dari Abu Hurairah menyebut: Maka berkata kaum Ansar kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah bahagikan ladang-ladang tamar kami itu sesama saudara kami al-Muhajirin". Kata Rasulullah: "Tidak". Kata mereka: "Kami boleh membantu memelihara tamar, kemudi air kita berkongsi pada buahnya". Jawab al-Muhajirin: "Kami mendengar dan kami patuhi".

Kesemuanya itu menggambarkan kemuncak kemurahan kaum Ansar terhadap saudara mereka, kaum Muhajirin. lanya adalah sebahagian dari pengorbanan, sifat mengutamakan orang lain, kemesraan dan ketulusan hati. Sebaliknya pula kaum Muhajirin tahu menghargai kemurahan hati Ansar itu, di mana mereka tidak mengambil kesempatan. Mereka terima ala kadar setakat yang mereka perlukan sahaja.


Memang benar persaudaraan ini merupakan hikmat yang paling tepat, ianya satu siasah yang amat kena pada masa, keadaan dan tuntutan suasana, ianya adalah penyelesaian yang cemerlang bagi beberapa masalah dan persoalan yang dihadapi oleh kaum muslimin.






rujukan:
 الرحيق المختوم، الشيخ صفي الرحمن المباركفوري


No comments:

Post a Comment