الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام على رسول الله الأمين وعلى آله وصحبه أجمعين
الحمد لله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله
Kita perlulah sentiasa saling menasihati kerana firman Allah dalam Surah al-Zariyat : 55
وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ
تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٥٥
"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
bagi orang-orang yang beriman."
Ayuh! Mulakan keinginan kalian untuk saling menasihati. Tanamkan niat dan beramal untuk saling menasihati bermula daripada coretan ini sehinggalah ke akhir hayat kita yang sangat pendek waktunya.
Hati! Kaulah Raja
Alhamdulillah kalian sedia meneruskan pembacaan. Semoga Allah membuka hati kita untuk mendapat cahaya hidayah dan taufiq dari-Nya.
Bertapa saya sangat terbawa untuk berkongsi ilmu yang cetek ini kepada kalian berkenaan hati. Kenapa? Kerana hati ini adalah raja segala anggota tubuh. Ketua dan pemimpin kepada pekerjanya. Maka seandainya Allah menganugerahkan pemimpin yang soleh, maka rakyatnya pasti dapat menikmati lazatnya pimpinan sang ketua seperti rakyat negara yang dianugerahkan ketua negara yang soleh, maka hak-hak mereka dipelihara, juga seperti seorang isteri dapat merasai hangatnya kasih sayang dan tunjuk ajar suami apabila Allah menghadiahkannya dengan suami yang memelihara agama, dan juga seperti seorang anak yang ditanam dengan ilmu serta nasihat daripada seorang ayah yang cukup tinggi cita-citanya untuk melihat anaknya soleh dan berjaya. Itulah peranan ketua!
Semoga kita dijauhkan sejauh-jauhnya daripada pemimpin yang zalim. Rakyat akan memberontak apabila pemimpinnya memungkiri janji dan tidak memenuhi hak rakyat. Seorang isteri akan menderita selama hidup dengan suaminya kerana sang suami melayaninya bagai binatang. Seorang anak akan terus dalam kancah maksiat dan dosa kerana sang ayah lebih mengejar duit dan hal peribadi. Betapa besarnya fitnah seorang pemimpin!
Di atas ini hanyalah analogi seorang pemimpin, kerana mahu mengingatkan kita betapa ketua itu penting bagi menjamin tarbiyah anak pimpinannya. Oleh yang demikian, mari kita jaga hati kita supaya badan kita mudah tergerak untuk senyum, bersedekah, berjalan ke masjid, bertahajjud, bertaubat, menolong sesama manusia dan lain-lain lagi. Sabda Nabi SAW dalam riwayat Tirmizi:
أَخْبَرَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا عَنِ الشَّعْبِيِّ قَالَ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ـ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ـ يَقُولُ:.....أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلا وَهِيَ الْقَلْبُ ".
Perihal kehidupan kita
Mengapa kita sering habis-habisan mengerahkan kudrat tenaga kita, fikiran, waktu, duit dan hati untuk mencari cinta manusia, memenuhi semua kehendak kawan-kawan dan anak, berjaga malam pukul 3 pagi kerana mahu mengulang kaji pelajaran, atau mengejar duniawi sedang kita pasti akan mati tidak lama lagi.,,
Tetapi kita tidak habis-habisan memburu cinta Allah?
Solat di akhir waktu, zikir hanya di mulut tanpa menghadirkan hati, menyebut nama Allah hanya apabila kita susah, baca al-Quran hanya apabila rasa sempitnya hati, sedekah hanya sisa daripada perbelanjaan, memikirkan Akhirat sekilas fikiran berbanding memikirkan dunia...?
Sebanyak mana pun kita bermaksiat, seperti menggunakan mata untuk melihat aurat manusia, menggunakan tangan untuk mengumpat rakan melalui wassup, menggunakan telinga mendengar aib orang lain, sebanyak gunung pun dosa kita tetapi Allah tetap menjamin rezeki kita. Kita masih dapat makan makanan lazat sedang baru semalam kita buat dosa besar, Kita masih boleh ketawa sedang kita baru mengkhianati Allah. Apakah kita tidak sedar bahawa makanan, gembira, sedih, minuman, sihat dan lain-lain itu adalah daripada Allah? Walaupun keadaan kita penuh dosa, Allah tetap baik menjemput kita untuk bertaubat kepada-Nya seperti firman Allah SWT dalam surah az-Zumar 53:
۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ
عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ
يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣
"Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka
sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni
dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Amalan Sebagai Alat
Sebab itu ulama sering menggesa kita untuk perbanyakkan amal ibadah selepas perbanyakkan ilmu. Kita beramal semata-mata tanpa ilmu mampu menjauhkan kita daripada kebenaran, Kita ada ilmu tetapi malas beramal juga akan memusnahkan diri kita sendiri. Dalam kitab Akhbar Al-Azkiya karangan Imam Ibn Jauzi pada bab yang menerangkan tentang akal nombor 6 menyebut :
عن وهب بن منبه قال : إني وجدت فيما أنزل الله على أنبيائه أن الشيطان لم يكابد شيئا أشد عليه من مؤمن عاقل, وإنه يكابد مائة جاهل فيستجرهم حتى يركب رقابهم, فينقادون له حيث شاء, ويكابد المؤمن العاقل فيتصعب عليه حتى لا ينال منه شيئا من حاجته.."
Amalan juga sangat memberi kesan kepada jiwa dan rohani kita. Kerana perkara inilah Syeikh Ibn Taimiyyah menukilkan dalam kitab beliau Tibbul Qulub pada bab yang menerangkan tentang penyakit hati dan penyembuhnya menyebut :
والعمل له أثر في القلب من نفع وضر وصلاح قبل أثره في الخارج, فصلاحها عدل لها وفسادها ظلم لها. قال الله تعالى : مَن عَمِلَ صالحاً فلنفسه ومن أسآءَ فعلَيها (فصلت : الآية 46) . قال بعض السلف : إن للحسنة لنورا في القلب, وقوة في البدن, وضياء في والوجه, وسعة في الرزق, ومحبة في قلوب الخلق, وأن للسيئة لظلمة في القلب, وسوادًا في الوجه ووهنا في البدن, ونقصا في الرزق, وبغضا في قلوب الخلق.
Teruskan beramal
Indahnya hari yang sedang berlalu apabila kita penuhinya dengan kebaikan dan amal soleh, kerana turunnya rahmat Allah ke atas kita. Rahmat tersebut meliputi kita kerana kita sentiasa merahmati makhluk ciptaan-Nya. Yakinlah orang yang merahmati pasti dirahmati seperti sabda Nabi SAW daripada 'Abdullah B 'Amru RA:
"الراحمون يرحمهم الرحمن, ارحموا من في الأرض, يرحمكم من في السماء"
"Orang-orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihinilah siapa yang di bumi, nescaya kalian akan dikasihi siapa yang di langit."
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam Tarmizi, Imam Bukhari, Imam al-Hakim dan lain-lain)
Pastinya orang yang dianugerahkan sifat rahmat adalah orang yang dikasihi Allah SWT. Teruskan usaha kita mengejar cinta dan rahmat Allah. Semoga dengan rahmat-Nya kita dimasukkan ke Syurga dan dijauhkan dari Neraka. Ameen...
