Tuesday, September 23, 2014

SAAT PERPISAHAN

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bersumber daripada Abu Musa

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم متى تنقطع مغفرة العبد من الناس قال إذا عاين

Aku bertanya Rasulallah SAW bilakah terputusnya pengetahuan seseorang tentang manusia? Baginda SAW menjawab : Apabila dia melihat yang tertentu"
          Para ulama menghuraikan maksud “melihat akan yang tertentu” itu ialah melihat Malaikat Maut atau malaikat-malaikat yang lain. Inilah saatnya yang mana peluang untuk beramal dan bertaubat sudah terputus daripada seseorang. Saat ini disebut dengan istilah ghargharah iaitu tatkala roh seseorang telah sampai ke halkum. Maka pada ketika ini manusia akan Nampak sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan mata pandangan kasar sepanjang hidupnya. Manusia akan melihat bakal untung nasibnya sama ada hal-hal yang menggembirakan atau sebaliknya, iaitu kenikmatan atau azab yang disediakan untuknya. Apabila sampai ke tahap ini, taubat dan penyesalan tidak berguna lagi. Dengan ini, dapatlah diketahui bahawa pintu taubat itu sentiasa dibuka kepada sesiapa pun sepanjang hayatnya, dan apabila tersingkap kepadanya hal-hal yang ghaib (iaitu di saat nyawa sampai ke halkum) maka pintu taubat pun ditutup.

          Dala sesetengah hadis ada menyebutkan bahawa syaitan telah berkata: “Demi kebesaran dan ketinggian-Mu, aku tidak akan berpisah daripada anak Adam selagi rohnya ada pada jasadnya.” Lalu Allah SWT berfirman: “Demi ketinggian dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan menghalang taubat anak Adam selagi belum sampai ke tahap ghargharah (nyawa sampai ke halkum).”

          Seharusnya kita mengambil iktibar daripada apa yang disebutkan agar segera bertaubat daripada dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan. Bertaubatlah dengan sebenar-benarnya, bukan hanya sekadar mengungkap lafaz istighfar di bibir mulut tanpa disertai dengan penyesalan dan keikhlasan mengharapkan keampunan Allah SWT. Kerana itulah Imam al-Hassan al-Basri R.A. pernah berkata: “Istighfar kami memerlukan kepada istighfar yang lain pula.” Imam al-Qurtubi mengulas kenyataan Imam Hassan al-Basri dengan katanya: “Jika begitu keadaannya yang berlaku pada zaman beliau maka betapalah pula zaman kita ini, yang mana manusia terlalu banyak mengerjakan maksiat dan kezaliman. Dalam pada itu ada yang tangannya memegang tasbih seraya mengungkapkan lafaz istighfar lalu dia menyangka kononnya dia telah bertaubat, padahal hatinya lalai daripada memikirkan tentang dosanya.”

          Sayidina Ali B Abu Talib R.A. pernah melihat seorang lelaki yang menuturkan lafaz istighfar dengan pantas dan laju, lantas beliau berkata: “Inilah taubat para pendusta dan dia perlu bertaubat daripada taubatnya itu.” Lantaran itu pada ulama menyarankan agar kita memperbanyakkan istighfar . Selain memohon keampunan terhadap dosa yang dilakukan maka sewajarnya juga kita memohon keampunan atas istighfar kita yang dilakukan sambil lewa dan tidak ikhlas. Di samping itu sentiasalah bergantung harap agar Allah SWT menerima taubat kita apabila kita benar-benar merasa menyesal atas kesilapan yang dilakukan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim menyebutkan:

إن العبد إذا اعترف بذنبه وتاب، تاب الله عليه

“Apabila seseorang hamba mengakui akan dosanya dan dia bertaubat, maka Allah menerima 
taubatnya”

Imam Malik R.A.H. pernah ditanyakan tentang taubat orang yang pernah melakukan kesalahan membunuh, lalu beliau menjawab: “Pintu yang dibukakan oleh Allah, tidak ditutup-Nya (yakni pintu taubat)”

          Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT sudi menerima taubat seseorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkum.” (HR Tirmizi)

          Ertinya, apabila nyawa telah sampai ke halkum orang itu akan melihat untung nasibnya sama ada mendapat rahmat atau kehinaan. Pada ketika itu taubat tidak berguna lagi dan keimanan juga tidak bermanfaat (jika mula beriman di saat itu seperti kisah Firaun). Allah SWT berfirman:

فلم يك ينفعهم إيمانهم لما رأوا بأسنا سنت الله التي قد خلت في عباده وخسر هنالك الكافرين

“Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut “sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.” (Surah Ghafir ayat 85)

Dan firmanNya lagi:

وليست التوبة للذين يعملون السيئات حتى إذا حضر أحدهم الموت قال إني تبت الأن ولا الذين يموتون وهم كفار أولئك أعتدنا لهم عذابا أليما

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan(demikian juga halnya) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah an-Nisa ayat 18)

UTUSAN KEMATIAN

   Diceritakan bahawa beberapa orang Nabi telah berkata kepada Malaikat Maut a.s: "Tidakkah engkau mempunyai utusan yang engkau utuskan terlebih dahulu sebagai peringatan kepada manusia?" Malaikat Maut menjawab: "Demi Allah,aku memiliki banyak utusan seperti sakit dan penyakit, uban, tua, serta pudar pendengaran dan penglihatan. Apabila orang yang ditimpa perkara-perkara ini tidak mahu mengambil peringatan dan tidak bertaubat, maka tatkala mencabut nyawanya, aku berseru: "Bukankah aku telah utuskan utusan dan peringatan demi peringatan. Akulah utusan yang tidak ada lagi utusan selepasku dan akulah pemberi peringatan yang tidak ada lagi selepasku pemberi peringatan."

   Setiap hari Malaikat Maut akan menyeru: "Hai orang yang telah mencecah usia empat puluhan, ini waktunya untuk kamu membuat perbekalan. Fikiranmu masih cergas dan tubuhmu masih kuat. Hai orang yang telah capai usia lima puluhan, telah hampir waktu pengambilan dan penuaian. Hai orang yang telah mencecah usia enam puluhan, kamu lupa kepada balasan seksa dan kamu lalai menyahut seruanku padahal kamu tidak mempunyai penolong."

Berita ini dilaporkan oleh Abu Al-Faroj Al-Jauzi dal kitab Raudhatul Musytaq Wa Al-Tariq ila Maliki Al-Khallaq

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dairpada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda:

أعذر الله لإمرئ أخر أجله حتى بلغ ستين سنة
"Allah telah memberi peluang kepada seorang yang dilewatkan ajalnya sehingga usianya mencapai enam puluh tahun"

    Diriwayatkan bahawa Malaikat Maut telah datang kepada Nabi Daud as, lalu Nabi Daud as bertanya: "Siapa kamu?" ,Malaikat Maut menjawab: "Aku adalah yang tidak takut kepada raja-raja, yang tidak boleh dihalang oleh mahligai, dan yang tidak boleh dirasuah." Nabi Daud as berkata: "Jadi engkau adalah Malaikat Maut." Dia menjawab: "Ya." Kata Nabi Daud: "Kamu datang kepadaku padahal aku belum bersedia lagi." Malaikat Maut menjawab: "Wahai Daud, dimanakah si polan saudara maramu itu, dimanakah si polan jiran tetanggamu itu?" Nabi Daud jawab: "Mereka telah mati." Malaikat Maut berkata: "Tidakkah kamu mengambil iktibar pada mereka sebagai persediaan?"

   Diceritakan tentang sesetengah ulama yang sering bersenang diri dan bersunyi-sunyian di dalam tamannya bersama para sahabatnya. Dia tidak membenarkan orang lain selain sahabat-sahabatnya masuk ke taman itu. Tiba-tiba dia melihat seorang lelaki masuk mencelah di antara pepohon pokok. Lantas dia merasa marah dan berkata: "Siapa yang membenarkan orang ini masuk?!" Lelaki itu datang dan duduk di hadapannya lalu berkata: "Apa pandanganmu tentang seorang lelaki yang mempunyai tanggungjawab tetapi dia mendakwa mempunyai keistimewaan untuk menolak tanggungjawab itu?" Tuan taman itu menjawab: "Dia hendaklah dihukum oleh pemerintah sekadar kesalahan yang dilihatnya." Penyoal itu berkata: "Pemerintah telah menetapkan tempoh untuknya namun dia tidak membawa sebarang manfaat dan tidak juga meninggalkan tabiat buruknya." Tuan taman menjawab: "Dia hendaklah dihapuskan." Lelaki itu berkata: "Sesungguhnya pemerintah telah berlembut dengannya dan memberi tangguh kepadanya selama lima puluh tahun." Tiba-tiba orang alim itu tersentak dan peluh meman

(Daripada kitab At-Tazkirah oleh Imam Al-Qurtubi rah. Dinukilkan daripada buku yang pernah dihasilkan oleh penyusun dalam dua versi berjudul "Panggilan Kubur" dan "Perjalanan di Alam Barzakh" )
car daripada wajahnya. Penyoal itu pergi. Setelah fikirannya tenang dia pun bertanya tentang penyoal tadi kepada sahabat-sahabatnya. Teman-temannya menjawab: "Lelaki itu masuk melalui pintu yang tidak pernah dimasuki dan dikeluar oleh seseorang." Dia pun berkata kepada para sahabatnya: "Beredarlah kamu semua." Sejak hari itu dia tidak kelihatan melainkan sering berada dalam majlis ilmu menyampaikan ilmunya."