Assalamualaikum et bonjour
Anak-anak mahasiswa dan
mahasiswi, sempena dengan Hari Raya AidilAdha yang dikenali juga Hari Raya
Korban, marilah sama-sama renung dan teliti dengan lebih mendalam akan makna
korban dan pengorbanan. Pernahkah kita terfikir kenapa pengorbanan disambut
sebagai perayaan atau kenapa pengorbanan dirayakan? Sedangkan kalau kita
fikirkan makna korban, kebiasaannya ia suatu yang dukacita atau malang.
Umpamanya,
seseorang terkorban dalam kemalangan jalan raya. Adakah orang yang terkorban
itu disambut dengan perayaan? Sudah tentu tidak! Tetapi kenapa hari raya ini
diraikan?
Ini yang perlu kita
teliti dan hayati maknanya yang sebenar. Hakikatnya suatu perkara itu dilihat
dan diukur dengan matlamat yang hendak dicapai. Jikalau berbicara tentang
korban atau pengorbanan, kita lihat apakah matlamat yang hendak dicapai di
sebaliknya. Itulah letaknya nilai satu pengorbanan. Sekiranya matlamat yang hendak
dicapai itu matlamat yang mulia, maka pengorbanan untuk sampai kepada hadaf itu
adalah satu pengorbanan yang sangat dituntut.
Jadi sesuailah kalau
dikatakan hari raya ini ialah Hari Raya Korban. Demikian juga kerana kita
mengenang satu kisah sejarah yang mengajar erti pengorbanan yang sangat tinggi
dan bermakna, iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ahli keluarga baginda.
Mereka berkorban
segalanya. Bermula dengan Nabi Ibrahim sendiri yang berkorban dengan
meninggalkan tanah air demi menyebarkan agama Allah menuju ke tempat yang asing
baginya. Seterusnya isteri baginda AS, Saidatina Sarah yang berkorban jiwa dan
perasaan dengan mengizinkan suaminya berkahwin dengan Saidatina Hajar kerana
beliau tidak dikurniakan cahaya mata demi meneruskan zuriat daripada suaminya.
Kemudian apabila Allah SWT sudah kurniakan cahaya mata, mereka diperintahkan
supaya isteri dan anaknya yang baru lahir pergi ke tanah gersang tiada
berpenghuni. Itulah bumi Mekah AlMukarramah, tapak binaan Kaabah. Bayangkan
bagaimana seorang ibu yang baru melahirkan ditinggal di padang pasir tanpa ada
prasarana sama sekali apatah lagi hidupan dan tumbuhan serta bekalan untuk
meneruskan kehidupan.
Satu ujian yang hebat
tetapi dengan keimanan yang kental, mereka berjaya melaluinya berkat keimanan
dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Kita dapat memahami melalui jawapan Siti
Hajar apabila beliau bertanya;
“Kenapa kami ditinggalkan di sini? Adakah ini
perintah daripada Allah SWT?”
Nabi Ibrahim menjawab;“Ya, ini
perintah daripada Allah.”
Maka Saidatina Hajar dengan yakin
menjawab;
“Jika ini adalah perintah Allah SWT, maka kami
tidak akan disia-sia.”
Berbekalkan keimanan yang
kental, terbukti Allah tidak mensia-siakan mereka. Ketika Siti Hajar berusaha
mencari air, tiba-tiba terpancar air zam-zam yang bukan sahaja memberi manfaat
kepada beliau dan anaknya bahkan sehingga ke hari ini untuk jutaan umat
manusia.
Selepas itu hiduplah
mereka dan kawasan itu menjadi kampung dan seterusnya menjadi bandar. Apabila
anaknya membesar, kembalilah Nabi Ibrahim menemui isteri dan anaknya. Kembali
bukan untuk membelai dan melepaskan rindu tetapi menuntut pengorbanan yang
tidak dapat kita bayangkan betapa hebatnya keimanan mereka. Baginda kembali
dengan perintah bahawa satu-satunya anak yang dianugerahi itu akan dikorbankan.
Seolah-olah perkara ini tidak munasabah akan tetapi itulah ujian dari Allah.
Rasulullah SAW bersabda “Orang
yang paling hebat diuji adalah para Nabi kemudian orang yang hampir dengan
mereka.”
Tiada orang yang diuji dengan sehebat
Abu AlAnbiya dimana baginda diperintah untuk menyembelih anak sendiri. Akan
tetapi kita lihat bagaimana baginda dan Nabi Ismail langsung tidak ragu-ragu
menerima perintah ini. Apa jawapan Nabi Ismail;
(Surah
Assaffat : 102)
Jadi
anak-anak sekalian, lihatlah betapa tingginya pengorbanan keluarga ini.
Pengorbanan yang tidak boleh digambarkan kehebatannya. Marilah sama-sama kita
muhasabah, lihat pada diri sejauh mana kita telah menyumbang dan berkorban demi
menegakkan syariat Islam dan apa yang kita telah korbankan sebenarnya.
credit to: ustazah maznah daud
credit to: ustazah maznah daud

No comments:
Post a Comment