Manakala kita menghadapi segala kepayahan. Orang lain bebas daripada bertimbunnya kegawatan. Akhirnya kita terasa down dan tidak bersemangat untuk berusaha.
Apa puncanya? Banyak! Cuma saya mahu berkongsi sekilas pengalaman saya yang masih cetek ini supaya perkongsian ini menjadi manfaat bersama.
Bagi pandangan peribadi, saya dapat simpulkan kita terasa stress, tidak mampu menghadapi peritnya masalah, tiada daya untuk berusaha lagi, semua ini adalah berpunca daripada pandangan kita!
Pandangan? Tak boleh ke?
Boleh! Asalkan dengan cara yang diredhai Allah. Yang saya maksudkan dengan pandangan di sini ialah kita membuat penilaian terhadap keadaan orang dan keadaan diri kita. Kita lihat diri kita ini penuh pancaroba dan pada masa yang sama kita lihat orang lain tidak kena ujian seperti kita. Macam yang saya sudah sebutkan sebelum ini, kita rasa keseorangan menyelesaikan ragam dunia.
Betulkah kamu keseorangan?
Dunia ini sarat dengan manusia, haiwan, dan makhluk-makhluk yang lain. Rasanya apakah masalah ini hanya kita yang hadapi? Nabi SAW tidak merasai beratnya ujian dihalau umatnya sendiri kerana baginda sedar utusan-utusan Allah sebelum baginda telah melalui peristiwa yang sama. Begitu juga kita! Jangan perasan kita ini sahaja yang mengalami masalah tertentu, tetapi sedarlah ada insan yang mengalami masalah sama dengan kita bahkan ada yang kena lebih teruk lagi.
Semua berbalik kepada bagaimana kita memandang peristiwa tersebut.
Rasa keseorangan ini biasanya melanda mereka yang tidak pandai bergaul dengan kawan atau kepada mana-mana mereka yang suka menyendiri. Mungkin juga untuk orang yang berpengaruh. Senang cerita sesiapa sahaja boleh memiliki perasaan ini.
Mana mungkin kita hadapi masalah berseorangan. Kita perlukan teman. Kita perlukan tempat meluahkan keadaan hati. Kita perlukan seseorang yang memahami diri kita. Manusia jika dipinta pertolongan berkali-kali pasti suatu hari mereka akan jemu dan mula marah-marah. Tetapi tidak untuk Allah SWT. Semakin kita memohon pada-Nya, semakin Dia sayang.....Allahu..
Bergantung Kepada Pemilik Peristiwa.
Minta kepada Allah sesuatu perkara adalah lebih releven kerana Dia yang mengatur peristiwa. Peristiwa adalah sesuatu yang tidak boleh diubah. Kita hanya mampu berusaha sungguh-sungguh dan sedia menerima apa-apa yang akan Allah tetapkan buat kita.
Minta kepada manusia hanyalah sebagai laluan agar Allah makbulkan hajat kita. Jadi bila keseorangan, Allah sebaik baik sahabat. Jika perlukan apa-apa hajat yang mahu dikabulkan, kepada Allah lah kita menadah tangan. Ini kerana Allah adalah yang menguruskan urusan langit dan bumi. Dia yang menjadikan keberhasilan sesuatu usaha dan sesuatu hajat.
Oleh yang demikian, jagalah solat. Jagalah apa- apa yang Allah suruh. Jauhilah apa yang Allah larang. Banyakkan istighfar. Jagalah hubungan dengan mak ayah terutamanya, kemudian dengan guru-guru, teman, dan semua makhluk Allah.Perlakukanlah segala amalan-amalan murni ikhlas kerana-Nya. Sabda Nabi SAW dalam kitab Arba3in karangan Imam Nawawi RAH:
احفظ الله يحفظك احفظ الله تجده تجاهك إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله
Maksudnya; " Jagalah Allah nescaya Allah menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau mendapati-Nya bersamamu. Jika engkau meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau meminta tolong, mintalah tolong kepada Allah" (HR Ahmad no 2669, At Tirmizi no 2516 dan Hakim no 6302)

Pahitnya Menuntut Ilmu dan Terpaksa Menelan Pelbagai Masalah
Dari segi beratnya ujian kita, jangan risau! Biarlah orang lain menikmati sepuasnya dengan kehidupan ceria mereka sedang kita ada banyak lagi kerja belum selesai. Yakinlah dengan adanya masalah, kita semakin dekat dengan Allah. Yakinlah dalam menuntut ilmu ni, kita terima bebanan yang lebih banyak daripada kawan-kawan lain adalah sebagai red carpet daripada Allah kepada kita supaya kita menjadi orang yang lebih berjaya. Satu kalam menyebut;
من لم يتألمْ لا يتعلمُ ولنْ يتعلمَ
Maksudnya; "Sesiapa yang tidak berasa sakit, dia tidak belajar dan dia tidak akan belajar."
Berbalik kepada kita sebagai penuntut ilmu, sedarlah kita perlukan kepayahan dalam kehidupan dan qona3ah pada kepayahan kerna ilmu itu mutiara yang berharga, sukar dicari. Kata Imam Muslim;
لا يستطاع العلم براحة الجسم
Maksud; "Tidak akan dapat perolehnya ilmu dengan kerehatan badan"
Untuk masalah yang lain, sama aja! Perlukan kesungguhan merentangi derasnya air kehidupan. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua dan menjadi dalam kalangan hamba-Nya yang Dia muliakan di dunia dan akhirat.
Teguran dan nasihat berhikmah daripada pembaca sangat didambakan. Semoga penulisan ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa.

No comments:
Post a Comment